KPS 3014 : PENGURUSAN PEMBELAJARAN
TAJUK :
PERANAN GURU DALAM MENGURUS PELBAGAI BUDAYA
Perkara utama yang perlu difokuskan dalam perbincangan seterusnya adalah metodologi yang paling sesuai untuk seorang guru dalam menerapkan nilai-nilai utama yang terkandung dalam gagasan 1 Malaysia saat dicabar oleh aspek kepelbagaian sosiobudaya dalam bilik darjah. Perkara ini dibincangkan kerana penerapan nilai-nilai perpaduan dan persefahaman adalah cara paling sesuai bagi memastikan konsep 1 Malaysia direalisasikan. Persoalannya, bagaimana caranya untuk menerapakan nilai perpaduan dan persefahaman tersebut kepada murid-murid kita? Menurut (oriati et.al) 2011, pelajar dalam sesebuah bilik darjah terdiri daripada etnik, taraf sosioekonomi, latar belakang keluarga, kawasan penempatan, budaya, adat resam dan bahasa yang berbeza. Lantaran itu, guru tidak seharusnya menggunakan cara yang sama untuk melayani dan memberikan perhatian kepada pelajar. Oleh yang demikian, terdapat lima peranan guru dalam menangani kepelbagaian sosiobudaya bagi menerapkan nilai perpaduan dalam diri anak-anak muridnya.
5 Peranan Guru
- Guru harus mewujudkan rasa penerimaan (input) dan layanan yang adil (output) kepada semua anak-anak muridnya. Guru harus sanggup untuk mendalami segala perkara yang membezakan anak-anak muridnya seperti latar belakang, bahasa, kepercayaan, agama dan sebagainya. Dengan ini, langkah pertama untuk penerimaan dan layanan yang adil sudah tercapai kerana dengan mengenali semua perbezaan tersebut, perkara yang tidak sepatutnya disentuh atau dipertikaikan guru boleh dielakkan dan barulah perasaan selesa akan wujud. Misalnya, situasi murid-murid yang beragama Islam adalah sedikit dalam kelas dan mereka sedang berpuasa di bulan Ramadan. Patutkah guru tersebut memberikan kebebasan kepada anak-anak muridnya yang bukan beragama Islam makan dan minum secara bebas dalam kelas? Apabila keadaan ini berlaku, perasaan tidak selesa atau tidak diterima akan dirasai dalam kalangan murid beragama Islam. Sudah tentu juga dalam kalangan murid-murid tidak ada suasana yang membolehkan nilai saling menghormati diterapkan dalam diri pelajar. Sebaik-baiknya guru harus terangkan keadaan rakan-rakan mereka yang beragama Islam sedang menjalani ibadah puasa yang memenatkan, oleh itu mereka semua memerlukan sokongan daripada rakan-rakan tidak seagama yang lain agar tidak tewas pada nafsu. Salah satu cara memberikan sokongan adalah tidak makan dan minum di hadapan mereka.
- Kedua, penggunaan strategi pembelajaran koperatif dalam bilik darjah. Strategi ini berfokus pada proses yang membantu murid untuk berinteraksi antara satu dengan yang lain bagi mencapai satu matlamat khusus dalam suatu pembelajaran. Guru harus sedar bahawa dalam bilik darjahnya bukan sekadar perbezaan berkenaan aspek budaya sahaja, malahan anak-anak muridnya juga akan ada perbezaan dari segi gaya dan tahap pembelajaran. Oleh itu, cara ini sesuai bagi murid-murid yang mempunyai tahap pencapaian berbeza bagi bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan, memastikan pencapaian kumpulan, saling membantu dan berinteraksi. Dalam strategi ini, murid-murid harus dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan kumpulan tersebut harus terdiri daripada murid-murid pelbagai aras kemahiran, dalam konteks ini, murid-murid yang berbagai latar, khususnya dari pelbagai etnik dan taraf sosial. Dapat dilihat dengan jelas di sini bahawa strategi ini bukan sahaja sesuai bagi mencapai objektif pembelajaran, malahan ia dapat mewujudkan persefahaman antara murid dan sangat berkesan bagi menerapkan nilai-nilai yang selaras dengan konsep 1 Malaysia seperti kerjasama, ketepatan, kesungguhan dan sebagainya. Antara contoh pembelajaran koperatif yang boleh diguna adalah think-pair-share, round robin, trade a problem dan bermacam lagi cara. Interaksi dan kerjasama yang lebih kerap antara murid akan mewujudkan suatu hubungan dan persefahaman yang erat dalam kalangan murid walaupun berlainan bangsa dan budaya.
- Ketiga, sangat perlu bagi seorang guru menitikberatkan pengurusan bilik darjah dan pengurusan hubungan khususya hubungan antara guru dan murid serta hubungan dalam kalangan murid-murid. Secara kasarnya kita boleh katakan bahawa tugas guru adalah melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang diamanahkan kepada beliau sahaja. Namun, beliau sebenarnya hendaklah juga memikirkan aspek pengurusan bilik darjah dan pengurusan hubungan kerana tanpa pengurusan yang efisien dalam dua aspek ini, ia akan membantutkan proses pencapaian objektif pembelajaran murid-murid. Peraturan perlu ditetapkan dalam bilik darjah supaya tingkah laku yang dikehendaki dapat ditingkatkan disamping mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Cara ini boleh digunakan juga untuk membendung tingkah laku yang boleh dianggap merencatkan proses penerapan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan murid seperti tidak bersopan-santun, mengejek rakan-rakan, tidak menyiapkan tugasan dan sebagainya.
- Keempat ialah aspirasi atau jangkaan guru. Sebagai seorang guru yang baik, adalah tidak relevan untuk kita menjangkakan sesuatu yang rendah daripada murid-murid kita, semata-mata terpengaruh dengan penampilan luaran dan status akademiknya. Guru harus menganggap bahawa semua muridnya berkebolehan dan elakkan membuat generalisasi terhadap prestasi murid berdasarkan aspek jantina, taraf sosioekonomi, bangsa dan sebagainya. Sikap guru yang suka melabel murid ini akan menyebabkan murid juga akan meniru perbuatan guru. Sekiranya perkara ini terjadi, sudah tentu proses penerapan nilai perpaduan juga akan terjejas kerana berlaku pengasingan dalam murid itu sendiri. Sebaiknya tidak kira apa pun keadaan murid tersebut, guru mesti mebimbingnya sebaik mungkin dengan cara yang sesuai dan tanamkan harapan dalam diri murid sebagai motitasi mereka untuk sentiasa maju ke hadapan serta tidak berputus asa.
- Peranan guru yang terakhir adalah pemilihan bahan sumber pembelajaran yang digunakan dalam bilik darjah. Di bahagian ini, tidak akan disentuh berkenaan pemilihan bahan sumber yang membantu dalam meningkatkan motitasi dan pembelajaran murid, tetapi melihat bagaimana peranan bahan sumber pembelajaran yang sesuai dapat membantu guru menerapkan nilai perpaduan dalam diri murid-muridnya. Guru mungkin boleh pelbagaikan latar budaya yang berlainan dalam sesi pengajarannya. Contohnya dalam pengajaran mengenai perayaan, guru boleh memaparkan perayaan setiap kaum di Malaysia serta membawa makanan tradisional yang terlibat dalam perayaan tersebut. Dalam pengajaran mata pelajaran Sejarah juga diperkenalkan bukan setakat tokoh-tokoh Melayu yang terlibat, sebaliknya nama-nama besar dari kaum Cina, India, dari negeri Sabah dan Sarawak, pemimpin rakyat marhaendan bermacam lagi. Proses mendalami kelompok lain akan membuahkan persefahaman dalam kalangan murid. Cuma yang perlu dielak juga oleh guru adalah banyak memaparkan unsur negatif dan sensitif mana-mana kelompok. Contohnya membicarakan isu status (Nabi Isa dalam agama Islam dan Kristian dalam kelas berbilang agama. Jika guru hendak mempraktikkan, maka pemahaman yang tepat tentang sesuatu kelompok tersebut harus dimiliki guru terlebih dahulu.
Terdapat banyak lagi cara lain yang boleh digunakan oleh seorang guru seperti mengikuti perubahan sosial, menghargai idea murid-murid, mengenalpasti bakat atau potensi murid, merapatkan hubungan antara guru dengan ibubapa murid dan lain-lain cara lagi. Kepentingan dalam memahami kepelbagaian sosiobudaya bilik darjah yang dikendalikan guru tersebut ada banyak, seperti memudahkan guru memahami budaya dan adat resam muridnya, memudahkan guru memahami tingkah laku murid yang terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang dan agama, menjadikan guru tidak mempunyai sikap pilih kasih ke atas murid berdasarkan kaum ataupun kecerdasan, dan mengurangkan dasar pengasingan kelas berdasarkan kaum, kecedersan dan latar belakang. Jadi, fizikal dan mental haruslah kuat dan bersemangat dalam menghadapi berbagai dugaan dan rintangan dalam mendidik anak bangsa.